1 Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Betania bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maria dan Marta.
2 Maria, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Tuhan dan menyapunya dengan rambutnya.
3 Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, dia yang Kaukasihi itu sakit.”
4 Apabila menerima berita itu, Yesus berkata, “Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Anak Allah akan dimuliakan.”
5 Yesus mengasihi Marta, Maria dan Lazarus.
6 Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
7 Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pulang ke Yudea.”
8 Para murid-Nya menjawab, “Rabbi, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?”
9 Yesus berkata, “Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini.
10 Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.”
11 Kemudian Yesus menambah, “Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.”
12 Para murid Yesus berkata, “Tuhan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.”
13 Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi murid-murid-Nya mengambil erti tidur yang biasa.
14 Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka dengan jelas, “Lazarus sudah meninggal.
15 Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.”
16 Tomas yang disebut Didimus berkata kepada murid Yesus yang lain. “Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!”
17 Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam.
18 Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem.
19 Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus.
20 Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah.
21 Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!
22 Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.”
23 Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.”
24 Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.”
25 Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
26 Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?”
27 Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.”
28 Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.”
29 Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus.
30 Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.
31 Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
32 Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!”
33 Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu.
34 Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?” Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.”
35 Yesus menangis.
36 Semua orang Yahudi yang hadir berkata, “Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.”
37 Namun demikian, ada yang berkata, “Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?”
38 Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.
39 Yesus berkata, “Alihkan batu itu.” Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.”
40 Yesus berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?”
41 Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
42 Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.”
43 Selepas itu, Yesus berseru lantang, “Lazarus, keluar!”
44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.”
45 Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maria dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus terus percaya kepada-Nya.
46 Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Yesus.
47 Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat!
48 Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Romawi akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!”
49 Seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, “Kamu semua tidak tahu suatu apa pun.
50 Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?”
51 Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi.
52 Sebenarnya Yesus mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat.
53 Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Yesus.
54 Yesus tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia beredar ke daerah bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama murid-murid-Nya.
55 Menjelang Perayaan Paskah, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu.
56 Mereka mencari Yesus. Ketika di Bait Suci, mereka bertanya sesama sendiri, “Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?”
57 Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Yesus berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.