1 Daripada Paulus, Silwanus dan Timotius, Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah Bapa kita dan dalam Tuhan Yesus Kristus:
2 Semoga kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menyertaimu.
3 Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi.
4 Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.
5 Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita.
6 Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan
7 Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Tuhan Yesus muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala.
8 Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Tuhan kita Yesus Kristus.
9 Mereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir dari hadirat Tuhan kita dan kemuliaan kuasa-Nya.
10 Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh murid-murid-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami antara kamu.
11 Oleh itu, kami sentiasa berdoa untukmu supaya Allah kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat baik untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya.
12 Dengan demikian, nama Yesus, Tuhan kita, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan kasih kurnia Allah kita dan Tuhan Yesus Kristus.