1 Akhirnya, saudara-saudaraku, doakanlah kami, semoga Firman Tuhan segera tersebar dan dimuliakan, seperti dalam kalanganmu dahulu.
2 Doakan semoga Allah menyelamatkan kami daripada orang yang mungkar dan durjana, kerana bukan semua orang mempunyai iman.
3 Tetapi Tuhan setia dan akan menguatkan kamu serta melindungimu daripada si durjana.
4 Kami mempunyai keyakinan dalam Tuhan tentang kamu, bahawa kamu sedang dan akan terus mengamalkan apa yang telah kami ajarkan kepadamu.
5 Semoga Tuhan membimbing hatimu ke arah kasih Allah dan ketabahan Kristus.
6 Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Tuhan Yesus Kristus supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan.
7 Kamu tahu bahawa kamu harus mengikut teladan kami. Kami tidak hidup malas ketika bersamamu dahulu.
8 Kami juga tidak mendapatkan makanan daripada orang lain dengan percuma. Sebaliknya, kami bertungkus-lumus siang malam supaya tidak membebankan sesiapa pun antara kamu.
9 Bukan kerana kami tidak berhak menuntut bantuanmu, tetapi untuk menjadi teladan kepadamu.
10 Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: “Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”
11 Kami mendengar ada di antaramu orang yang hidup malas, langsung tidak bekerja tetapi mencampuri urusan orang.
12 Dengan nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri.
13 Tetapi kamu, saudara-saudaraku, janganlah jemu berbuat baik.
14 Jika sesiapa tidak mengikut apa yang kami tuliskan di dalam surat ini, perhatikan dia dan jangan bergaul dengannya, supaya dia berasa malu.
15 Namun demikian, jangan pula anggap dia sebagai musuh. Sebaliknya nasihatilah dia sebagai saudaramu.
16 Semoga Tuhan, sumber segala kesejahteraan, sentiasa mengurniaimu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan bersama kamu semua.
17 Salam daripada Paulus, kutulis dengan tanganku sendiri. Inilah tanda dalam setiap surat: demikianlah kutulis.
18 Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua.