1 “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.
2 Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.
3 Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.
4 Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya.
5 Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.”
6 Yesus bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
7 Oleh yang demikian, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.
8 Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.
9 Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.
10 Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
11 Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.
12 Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.
13 Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
14 Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,
15 sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.
16 Aku miliki domba-domba lain yang bukan daripada kawanan ini. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
17 Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.
18 Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku.”
19 Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.
20 Sebilangan besar berkata, “Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar kata-Nya?”
21 Namun demikian, ada yang berkata, “Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?”
22 Di Yerusalem, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.
23 Ketika itu musim sejuk, dan Yesus sedang berjalan di serambi Salomo di dalam Bait Suci.
24 Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, “Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini Kristus?”
25 Yesus menjawab, “Aku sudah pun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan nama Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang diri-Ku.
26 Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.
27 Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.
28 Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.
29 Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapa pun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa.
30 Aku dan Bapa adalah satu.”
31 Selepas itu, orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Yesus.
32 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?”
33 Orang Yahudi itu menjawab, “Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!”
34 Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tersurat dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ialah tuhan’?
35 Jika Allah menyebut orang sebagai ‘ilahi’ kerana firman Allah datang kepada mereka, (apa yang tersurat dalam Kitab Suci tidak dapat dibatalkan)
36 bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, ‘Aku Anak Allah’?
37 Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.
38 Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.”
39 Mereka mencuba lagi menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri daripada tangan mereka.
40 Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yohanes membaptis orang dahulu.
41 Ramai orang datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Yohanes tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.”
42 Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Yesus.


Warning: Unknown: write failed: No space left on device (28) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct (/tmp) in Unknown on line 0