1 Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus.
2 Dia mengunjungi Yesus pada suatu malam lalu berkata, “Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.”
3 Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.”
4 Nikodemus bertanya, “Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!”
5 Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah.
6 Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh.
7 Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula.
8 Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus.”
9 Nikodemus bertanya, “Bagaimana hal itu boleh berlaku?”
10 Yesus menjawab, “Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini?
11 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya.
12 Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga?
13 Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga.
14 Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat
15 supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.
16 Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.
17 Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.
18 Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah.
19 Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat.
20 Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.
21 Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.”
22 Selepas itu, Yesus dan murid-murid-Nya pergi ke wilayah Yudea. Yesus tinggal bersama mereka di sana dan membaptis orang.
23 Yohanes pula membaptis di Ainon, tidak berapa jauh dari Salim, kerana di situ ada banyak air. Orang datang kepadanya dan dia membaptis mereka.
24 Pada masa itu, Yohanes belum lagi dimasukkan ke dalam penjara.
25 Pada suatu hari tercetus pertengkaran antara sebilangan murid Yohanes dengan seorang Yahudi tentang istiadat penyucian.
26 Mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, “Rabbi, seorang yang bersama dengan engkau di seberang Sungai Yordan dahulu, orang yang engkau tunjukkan kepada kami, Dia membaptis orang dan semua orang pergi kepada-Nya.”
27 Yohanes menjawab, “Seseorang tidak mungkin menerima sesuatu kecuali diberi kepadanya dari syurga.
28 Kamu semua menjadi saksiku bahawa aku telah berkata, ‘Aku bukanlah Kristus, tetapi aku diutus sebelum-Nya.’
29 Yang mendapatkan pengantin perempuan ialah pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki yang cuma menanti dan mendengarkan ketibaan pengantin lelaki, berasa bahagia ketika mendengar suara pengantin lelaki. Demikian juga aku. Sekarang sempurnalah kebahagiaanku.
30 Memang sewajarnya Dia semakin utama dan aku semakin kecil.”
31 Dia yang datang dari atas adalah di atas segala-galanya. Orang yang berasal dari dunia datang dari dunia dan bercakap tentang hal-hal dunia. Tetapi Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala-galanya,
32 Dia menyampaikan apa yang dilihat dan didengar-Nya, tetapi tidak ada seorang pun yang menerima kesaksian-Nya.
33 Namun begitu, mereka yang menerima kesaksian-Nya mengaku bahawa Allah itu benar.
34 Dia yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniai-Nya Roh Kudus sepenuhnya.
35 Bapa kasih akan Anak-Nya dan telah meletakkan segala-galanya di bawah kuasa Anak-Nya.
36 Sesiapa yang percaya kepada Anak itu mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya tidak akan mendapat hidup yang kekal itu dan kemurkaan Allah kekal ke atasnya.