1 Setelah itu, Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada murid-murid-Nya, di Laut Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku:
2 Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang murid Yesus yang lain, sedang berhimpun di situ.
3 Simon Petrus berkata kepada mereka, “Aku hendak pergi menangkap ikan.” Mereka berkata kepadanya, “Kami hendak pergi bersama-sama.” Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka.
4 Ketika matahari terbit, Yesus berdiri di pantai, tetapi murid-murid tidak mengenal-Nya.
5 Yesus bertanya kepada mereka, “Anak-anak, kamu ada ikan?” “Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,” jawab mereka.
6 Yesus berkata kepada mereka “Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.” Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali.
7 Oleh itu, murid yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Simon Petrus, “Itu Tuhan!” Setelah mendengar bahawa Tuhan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya tadi untuk bekerja) lalu dia terjun ke dalam air.
8 Para murid lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira dua ratus hasta.
9 Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada.
10 Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.”
11 Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, seratus lima puluh tiga ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak.
12 Yesus berkata kepada mereka, “Marilah bersarapan.” Tiada seorang murid pun yang berani bertanya, “Siapakah Engkau?” kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Tuhan.
13 Yesus pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan.
14 Itulah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.
15 Selepas sarapan bersama-sama, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.”
16 Bagi kali kedua Yesus bertanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.”
17 Bagi kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi-Ku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Tuhan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!” Yesus berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan.
18 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.”
19 Kata-kata Yesus ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Yesus pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!”
20 Petrus menoleh lalu melihat murid yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikut mereka. Murid itulah yang duduk bertelekan di sisi-Nya ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, “Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?”
21 Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?”
22 Yesus menjawab, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.”
23 Oleh itu, tersebarlah dalam kalangan murid Yesus bahawa murid tersebut tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa murid itu tidak akan mati. Yesus berkata, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?”
24 Murid itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menulis semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.
25 Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.