1 TUHAN bertakhta memerintah, biarlah bangsa-bangsa gementar; Dia tinggal di antara malaikat kerubin, biarlah bumi bergegar.
2 TUHAN Maha Besar di Sion; dan Dia jauh di atas semua bangsa.
3 Biarlah mereka memuji nama-Mu yang agung dan mengagumkan – Dia Maha Kudus.
4 Kekuatan Raja cinta akan keadilan – Engkau telah mengasaskan kesaksamaan; Engkau telah melakukan yang benar dan adil dalam Yakub.
5 Tinggikanlah TUHAN Allah kita dan sembahlah Dia di alas kaki-Nya; Dia Maha Kudus.
6 Musa dan Harun tergolong antara imam-Nya, dan Samuel antara mereka yang menyeru nama-Nya; Mereka berseru kepada TUHAN dan Dia menjawab mereka.
7 Dia berfirman kepada mereka dalam tiang awan; mereka mematuhi peraturan-Nya dan ketetapan yang diberi-Nya.
8 Engkau menjawab mereka, Ya TUHAN Allah kami; Engkau Allah pengampun kepada mereka, meskipun Engkau membalas perbuatan mereka dengan hukuman.
9 Tinggikanlah TUHAN, Allah kita dan sembahlah Dia di bukit suci-Nya, kerana TUHAN Allah kita Maha Kudus.