1 Untuk pemimpin muzik. Menurut kecapi bertali lapan. Mazmur Daud. Tolonglah, ya TUHAN, kerana tiada lagi orang yang warak; orang setia telah lenyap daripada kalangan anak manusia.
2 Mereka berkata sama sendiri tanpa keikhlasan, dengan pujian manis di bibir sedangkan hati bercabang.
3 Semoga TUHAN memotong bibir yang memuji palsu dan lidah yang bertutur angkuh
4 yang berkata, “Kami akan berkuasa dengan lidah kami; bibir kami kepunyaan kami – siapa yang berkuasa atas kami?”
5 “Kerana orang miskin ditindas dan kerana orang sesak merintih, Aku akan bangkit sekarang,” firman TUHAN. “Aku akan memberi mereka kesejahteraan yang diingini.”
6 Firman TUHAN adalah murni, seperti perak yang teruji di dalam relau tanah, dimurnikan tujuh kali.
7 Engkau akan memelihara mereka, ya TUHAN, dan melindungi mereka daripada orang zaman ini selama-lamanya.
8 Orang zalim merayau angkuh merata-rata ketika kekejian disanjung dalam kalangan anak manusia.