1 Mazmur kesyukuran. Bersorak rianglah kepada TUHAN, wahai seluruh bumi.
2 Sembahlah TUHAN dengan sukacita; datanglah ke hadirat-Nya dengan nyanyian.
3 Ketahuilah bahawa TUHAN, Dialah Allah. Dialah yang telah menjadikan kita, dan kita milik-Nya; kita umat-Nya dan kawanan domba di padang rumput-Nya.
4 Masuklah ke pintu pagar-Nya dengan mengucap syukur dan ke pekarangan-Nya dengan pujian; bersyukurlah kepada-Nya, dan berkatilah nama-Nya.
5 Kerana TUHAN baik, kasih-Nya untuk selama-lamanya; dan kesetiaan-Nya kekal turun-temurun, zaman-berzaman.