1 Setelah itu, Yesus dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis.
2 Setelah Yesus berpuasa empat puluh hari empat puluh malam, Dia berasa kelaparan.
3 Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.”
4 Yesus menjawab, “Telah tersurat: ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.’ ”
5 Selepas itu, Iblis membawa Yesus ke kota suci lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan
6 berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: ‘Tentang-Mu, Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ”
7 Yesus menjawab, “Tetapi telah tersurat: ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ”
8 Iblis membawa pula Yesus ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia serta kemuliaannya.
9 Kata Iblis kepada Yesus, “Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.”
10 Jawab Yesus, “Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ”
11 Iblis pun meninggalkan Yesus dan para malaikat datang melayani-Nya.
12 Apabila mendengar bahawa Yohanes telah dipenjarakan, Yesus pun pergi ke Galilea.
13 Dia tidak tinggal di Nazaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir Laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali.
14 Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya:
15 “Tanah Zebulon, Tanah Naftali, di pinggir laut, seberang Sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa asing.
16 Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut, cahaya telah bersinar!”
17 Yesus pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!”
18 Ketika Yesus berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak dua orang saudara, iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan.
19 Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.”
20 Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
21 Sejurus berjalan dari sana, Yesus ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yohanes bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus memanggil dua beradik itu.
22 Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Yesus.
23 Yesus menjelajah ke serata Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil Kerajaan Allah serta menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan dalam kalangan mereka.
24 Berita tentang Yesus tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang menghidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya.
25 Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Galilea dan Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.