1 Pada hari itu juga, Yesus keluar dari rumah lalu duduk di pinggir laut.
2 Sungguh ramai orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya. Yesus pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai.
3 Yesus memberitahu mereka banyak perkara melalui ibarat. Dia berkata: “Seorang penyemai pergi menabur.
4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung.
5 Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.
6 Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar.
7 Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya.
8 Namun demikian, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda.
9 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
10 Para murid Yesus datang bertanya kepada-Nya, “Mengapa Engkau bercakap kepada mereka melalui ibarat?”
11 Yesus menjawab, “Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak.
12 Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga dia penuh kelimpahan. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil.
13 Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat: ‘Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak, mereka mendengar tetapi tidak mengerti.’
14 “Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yesaya: ‘Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti; kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui.
15 Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.’
16 Tetapi diberkatilah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar.
17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat tetapi tidak melihatnya dan mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak mendengarnya.”
18 “Oleh itu, dengarlah maksud ibarat penyemai benih:
19 Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan.
20 Orang yang menerima benih di tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita.
21 Tetapi dia tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, imannya pun segera luntur.
22 Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia dan tarikan palsu harta kekayaan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.
23 Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar firman itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali bahkan tiga puluh kali ganda.”
24 Yesus menceritakan satu ibarat lagi: “Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya.
25 Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu.
26 Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga.
27 Hamba peladang berkata, ‘Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?’
28 Jawab peladang itu, ‘Ini perbuatan musuh.’ Hamba itu bertanya, ‘Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?’
29 ‘Tidak,’ jawab peladang itu, ‘takut tercabut gandum juga sewaktu kamu mencabut lalang itu.
30 Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu, barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.’ ”
31 Seterusnya Yesus mengisahkan ibarat demikian: “Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditabur di ladangnya.
32 Biji sesawi itu paling kecil antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara membuat sarang pada cabangnya.”
33 Kemudian Yesus menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.”
34 Demikianlah Yesus mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat.
35 Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi: “Aku akan membuka mulut melalui ibarat; Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.”
36 Selepas itu, Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Murid-murid-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, “Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.”
37 Yesus berkata, “Orang yang menabur benih baik itu Anak Manusia.
38 Ladang itu dunia. Benih yang baik itu anak-anak kerajaan dan lalang itu anak-anak si durjana.
39 Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat.
40 Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir.
41 Anak Manusia akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua dalam kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dalam kerajaan-Nya dan yang menyebabkan orang berdosa.
42 Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.
43 Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
44 “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.”
45 “Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya.
46 Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.”
47 “Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan.
48 Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik di dalam bekas dan membuang yang tidak baik.
49 Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar.
50 Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.
51 “Fahamkah kamu hal-hal ini?” tanya Yesus. “Kami faham,” jawab mereka.
52 Yesus berkata, “Oleh itu, setiap ahli Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama daripada khazanah simpanannya.”
53 Setelah Yesus selesai menceritakan ibarat, Yesus pun beredar dari situ.
54 Lalu Dia pulang ke kampung halaman-Nya. Di situ Dia mengajar di saumaah. Orang yang mendengar-Nya hairan lalu bertanya, “Dari manakah Dia mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah Dia mendapat kuasa melakukan mukjizat?
55 Bukankah Dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibu-Nya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudara-Nya?
56 Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya ada bersama kita? Dari manakah Dia mendapat semua ini?”
57 Dengan demikian mereka enggan menerima-Nya. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati kecuali di kampung halamannya dan dalam keluarganya sendiri.”
58 Yesus tidak banyak melakukan mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya.