1 “Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.
2 Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal.
3 Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak.
4 Yang bijak membawa lampu bersama bekas berisi minyak.
5 Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur.
6 Pada waktu tengah malam terdengar seruan, ‘Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!’
7 Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka.
8 Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.’
9 Tetapi yang bijak menjawab, ‘Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.’
10 Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.
11 Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!’
12 Tetapi pengantin lelaki berkata, ‘Sesungguhnya, aku tidak mengenalmu.’ ”
13 “Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya.”
14 “Kerajaan syurga sama seperti seorang yang berpergian dan memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.
15 Kepada yang seorang dia memberikan lima talenta, kepada seorang lagi dua, kepada yang seorang lagi satu, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu, dia pun bertolak.
16 Hamba yang menerima lima talenta itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima talenta lagi.
17 Demikian juga yang menerima dua talenta, dia mendapat laba dua talenta lagi.
18 Tetapi yang menerima satu talenta menggali lubang di tanah dan menyembunyikan wang tuannya di situ.
19 Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka.
20 Hamba yang menerima lima talenta dahulu membawakan lima talenta lagi sambil berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku lima talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima talenta lagi dengannya.’
21 Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’
22 Yang telah menerima dua talenta pula datang lalu berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku dua talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua talenta lagi dengannya.’
23 Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’
24 Kemudian hamba yang menerima satu talenta itu datang lalu berkata, ‘Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.
25 Jadi aku takut, lalu kusorokkan satu talenta tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.’
26 Tetapi tuannya menjawab, ‘Hai hamba yang zalim dan malas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.
27 Oleh itu, sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam tabung, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.’
28 ‘Sekarang, ambillah talenta itu daripadanya dan berikannya kepada yang mempunyai sepuluh talenta itu.
29 Demikianlah, kepada setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih lagi, sehingga dia penuh kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya pun akan diambil.
30 Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’ ”
31 “Apabila Anak Manusia datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya.
32 Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing.
33 Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.
34 Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.
35 Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;
36 Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.’
37 Orang yang benar itu pun bertanya, ‘Tuhan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman?
38 Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?
39 Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?’
40 Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.’
41 Selepas itu, Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, ‘Nyahlah dari sisi-Ku, kamu yang terlaknat, ke dalam api kekal yang telah disediakan untuk Iblis dan para malaikatnya;
42 kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman.
43 Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.’
44 Mereka akan berkata, ‘Tuhan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?’
45 Dia akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.’
46 Mereka itu akan menanggung hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.”