1 Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Yesus.
2 Herodes berkata kepada orang di bawahnya, “Ini tentu Yohanes Pembaptis. Dia telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat.”
3 Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yohanes ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus.
4 Yohanes telah memberitahu Herodes, “Mengambil Herodias sebagai isterimu adalah haram.”
5 Herodes hendak membunuh Yohanes tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.
6 Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis dan menyenangi hati Herodes,
7 sehingga Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu.
8 Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga.
9 Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia memerintahkan supaya permintaan gadis itu dilaksanakan.
10 Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yohanes di penjara.
11 Kepala Yohanes diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya.
12 Selepas itu, murid Yohanes datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Yesus tentangnya.
13 Sebaik-baik mendengar tentang Yohanes, Yesus menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Yesus melalui jalan darat dari kota.
14 Setelah Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka.
15 Apabila menjelang petang, para murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.”
16 Tetapi Yesus menjawab, “Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.”
17 Kata para murid Yesus, “Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.”
18 Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.”
19 Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu.
20 Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul.
21 Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.
22 Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.
23 Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri.
24 Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.
25 Antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka.
26 Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, “Hantu!”
27 Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut.”
28 Petrus berkata, “Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.”
29 “Marilah,” sahut Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus.
30 Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. “Tuhan! Selamatkan aku!” serunya.
31 Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, “Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?”
32 Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada.
33 Selepas itu, para murid Yesus yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, “Sesungguhnya, Engkaulah Anak Allah!”
34 Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret.
35 Orang di situ mengenal Yesus lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya.
36 Mereka merayu Yesus supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.