1 Setelah Yesus memberikan petunjuk kepada dua belas orang murid-Nya itu, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar berhampiran.
2 Yohanes yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus. Yohanes pun menyuruh beberapa orang muridnya untuk bertanya kepada Yesus.
3 Mereka bertanya, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?”
4 Yesus menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan lihat:
5 Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin.
6 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku!”
7 Ketika murid-murid Yohanes beredar dari situ, Yesus mula berkata kepada orang ramai tentang Yohanes: “Apabila kamu mendapatkan Yohanes di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin?
8 Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana.
9 Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi.
10 Tentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci: ‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’
11 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Namun begitu, orang yang terkecil dalam kerajaan syurga lebih besar daripadanya.
12 Sejak kedatangan Yohanes Pembaptis hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang yang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan.
13 Kerana semua nabi termasuk Musa dengan Taurat bernubuat hingga datangnya Yohanes.
14 Sekiranya kamu mahu percaya akan perkhabaran mereka, Yohanes itulah Elia yang telah dinubuatkan kedatangannya.
15 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!
16 Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka umpama anak-anak yang duduk di pasar, satu kumpulan berseru kepada yang lain:
17 ‘Kami memainkan seruling untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap, tetapi kamu enggan menangis.’
18 Ketika Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis!’
19 Ketika Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah Dia ini: pelahap, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!’ Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya.”
20 Yesus mengecam bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduknya enggan bertaubat.
21 “Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Betsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala.
22 Akan tetapi, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu!
23 Kamu juga, hai Kapernaum! Akankah dirimu ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dihumbankan ke neraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu itu dilakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada hingga kini!
24 Aku berkata kepadamu, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas kamu!”
25 Selepas itu Yesus berucap, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil.
26 Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan.”
27 “Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa.
28 Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan.
29 Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang.
30 Sebab kuk-Ku serba mudah, dan beban-Ku pun ringan. ”