1 Saudara-saudaraku, seharusnya hanya segelintir daripadamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain.
2 Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya.
3 Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan seluruh tubuh kuda.
4 Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh pengemudi.
5 Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil.
6 Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka.
7 Manusia dapat dan sudah pun menjinakkan makhluk lain – binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut.
8 Akan tetapi, tiada sesiapa pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh.
9 Kita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah.
10 Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku.
11 Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama?
12 Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar.
13 Adakah wujud dalam kalanganmu seorang yang bijak bestari? Sifat ini terbukti melalui kelakuan baik dan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati serta bijaksana.
14 Akan tetapi, sekiranya kamu bersikap hasad dengki dan mementingkan diri, janganlah bermegah dengan kebijaksanaan itu atau menafikan yang benar.
15 Kebijaksanaan demikian tidak berasal dari syurga tetapi dari dunia, tabiat manusia yang berdosa, dan roh iblis.
16 Sikap hasad dengki dan mementingkan diri akan menimbulkan kekacauan serta pelbagai kejahatan.
17 Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka.
18 Buah perbenaran ialah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian.