1 Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata,
2 “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.
3 Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.”
4 Para murid Yesus menjawab, “Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari roti yang cukup untuk semua orang ini?”
5 Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?” “Tujuh buku,” jawab mereka.
6 Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu, Dia memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk dihidangkan. Mereka pun memberikannya kepada orang ramai.
7 Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Yesus menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga.
8 Mereka pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
9 Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Yesus pun menyuruh mereka pulang.
10 Selepas itu, Yesus terus menaiki perahu bersama murid-murid-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.
11 Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta-Nya menunjukkan suatu tanda dari syurga.
12 Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepada orang zaman ini.”
13 Yesus meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.
14 Para murid Yesus terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.
15 Yesus mengingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.”
16 Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.”
17 Yesus mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah hatimu?
18 Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat
19 bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” “Dua belas,” jawab mereka.
20 “Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” “Tujuh,” jawab mereka.
21 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kamu masih belum faham lagi?”
22 Yesus dan murid-murid-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus dan memohon agar Dia menyentuhnya.
23 Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Yesus meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, “Adakah kamu melihat apa-apa?”
24 Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.”
25 Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.
26 Yesus pun menyuruhnya pulang sambil berkata, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.”
27 Setelah itu, Yesus dan murid-murid-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang, Aku ini siapa?”
28 Mereka menjawab, “Ada yang berkata, Yohanes Pembaptis; yang lain berkata, Elia; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.”
29 “Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus.”
30 Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang diri-Nya.
31 Kemudian Yesus mula mengajar mereka bahawa Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula.
32 Yesus mengatakan perkara ini dengan terus terang. Oleh itu, Petrus menarik Yesus ke tepi lalu menegur Dia.
33 Yesus berpaling memandang murid-murid-Nya lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.”
34 Setelah itu, Yesus memanggil murid-murid-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku.
35 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu.
36 Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya?
37 Dapatkah hidup itu ditukar dengan apa pun?
38 Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku dalam kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Anak Manusia juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.”