1 Kemudian Yesus masuk semula ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya.
2 Ada beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.
3 Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Berdiri, marilah ke depan.”
4 Kemudian Dia menyoal orang di situ, “Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” Tetapi semuanya berdiam diri.
5 Yesus memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras hati. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, lalu tangan itu terus sembuh.
6 Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus.
7 Yesus beredar ke laut bersama murid-murid-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea,
8 Yerusalem, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya.
9 Begitu ramainya orang sehingga Yesus menyuruh murid-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit.
10 Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya.
11 Apabila orang yang dirasuk roh-roh jahat melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, “Engkau Anak Allah.”
12 Yesus melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
13 Kemudian Yesus naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya.
14 Yesus memilih dua belas orang antara murid-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil
15 serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.
16 Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga diberi-Nya nama Petrus);
17 Yakobus dan saudaranya Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberi-Nya nama Boanerges, yang bermakna Anak Petir);
18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot
19 dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.
20 Selepas itu, Yesus masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan.
21 Apabila keluarga Yesus mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, “Dia tidak siuman.”
22 Sebilangan ahli Taurat dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa ketua roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.”
23 Oleh itu, Yesus memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: “Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis?
24 Kalau sebuah kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan.
25 Dan jika sebuah keluarga berpecah belah, keluarga itu tidak dapat bertahan.
26 Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya.
27 Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya, kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu.
28 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan.
29 Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.”
30 Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”
31 Apabila ibu dan saudara-saudara Yesus tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya.
32 Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Yesus berkata kepada-Nya, “Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka hendak bertemu dengan-Mu.”
33 Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?”
34 Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku!
35 Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”