1 Pada hari pertama minggu itu ketika masih awal pagi lagi, mereka pun pergi ke makam dengan membawa ramuan rempah yang telah disediakan mereka.
2 Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam.
3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Tuhan Yesus tiada lagi.
4 Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka.
5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu menundukkan muka ke tanah. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati?
6 Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:
7 ‘Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.’ ”
8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Yesus.
9 Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.
10 Mereka, iaitu Maria orang Magdalena, Yohana, Maria, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu.
11 Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak percaya kepada mereka.
12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan linen sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.
13 Pada hari itu juga dua orang antara murid Yesus sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Yerusalem.
14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu.
15 Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.
16 Mereka nampak Yesus tetapi mereka tidak mengenali Dia.
17 Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
18 Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?”
19 Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?” Mereka menjawab, “Segala perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya.
20 Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya.
21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku.
22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi.
23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup.
24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.”
25 Kemudian, Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi!
26 Bukankah Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?”
27 Lalu Yesus menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Yesus kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan.
29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, “Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.” Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.
30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka.
31 Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka.
32 Mereka berkata satu sama lain, “Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?”
33 Mereka terus bangun dan kembali ke Yerusalem. Mereka mendapati sebelas murid itu berkumpul dengan pengikut yang lain.
34 Mereka berkata, “Sesungguhnya, Tuhan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!”
35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Yesus semasa Dia membahagikan roti.
36 Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Yesus sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu!”
37 Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu.
38 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu?
39 Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.”
40 Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.
41 Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Yesus pun bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?”
42 Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak,
43 lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
44 Kemudian, Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan kitab Mazmur pasti akan berlaku.”
45 Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci.
46 Dia berkata lagi, “Demikianlah yang tersurat: Bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga,
47 dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem.
48 Kamulah saksi segala perkara ini.
49 Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkap dengan kuasa dari tempat tinggi.”
50 Kemudian Yesus membawa murid-murid-Nya ke luar kota sehingga Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka.
51 Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka.
52 Murid-murid-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan.
53 Mereka menumpukan masa di Bait Suci untuk memuji Allah.