1 Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Yesus menghadap Pilatus.
2 Mereka mula menuduh Dia, “Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya Kristus, seorang raja!”
3 Pilatus bertanya kepada Yesus, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah seperti katamu.”
4 Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, “Aku tidak mendapati-Nya bersalah.”
5 Tetapi mereka semakin mendesak, “Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.”
6 Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Yesus seorang Galilea.
7 Ketika Pilatus mengetahui Yesus berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Yesus dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Yerusalem.
8 Apabila Herodes melihat Yesus, dia sangat gembira. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Yesus kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Lagipun, dia berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat.
9 Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Yesus tetapi Yesus tidak menjawab sepatah kata pun.
10 Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Yesus.
11 Herodes dan askar-askarnya menghina Yesus dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus.
12 Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.
13 Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai
14 lalu berkata kepada mereka, “Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu.
15 Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati.
16 Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.”
17 Pada setiap Perayaan Paskah Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.
18 Tetapi semua orang berteriak, “Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.”
19 (Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)
20 Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi.
21 Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!”
22 Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: “Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.”
23 Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Yesus disalib. Akhirnya, mereka berjaya.
24 Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.
25 Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Yesus diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.
26 Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya.
27 Ramai orang mengikut Yesus; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya.
28 Yesus berpaling kepada mereka lalu berkata, “Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri.
29 Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!’
30 Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbuslah kami!’
31 Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?”
32 Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus.
33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
34 Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
35 Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.”
36 Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya
37 lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.”
38 Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.”
39 Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!”
40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.
41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.”
42 Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.”
43 Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.”
44 Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan,
45 kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua.
46 Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.
47 Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, “Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.”
48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.
49 Semua sahabat Yesus, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.
50 Terdapat seorang bernama Yusuf yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan benar.
51 Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah.
52 Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Yesus.
53 Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.
54 Hari itu ialah hari Persiapan, dan hari Sabat hampir bermula.
55 Perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya.
56 Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.