1 Petrus dan Yohanes naik ke Bait Suci bersama-sama pada waktu beribadat pada jam kesembilan.
2 Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu Bait Suci itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Bait Suci itu.
3 Apabila dia melihat Petrus dan Yohanes sedang hendak masuk ke Bait Suci itu, dia pun meminta sedekah.
4 Petrus merenungnya, bersama Yohanes, lalu berkata, “Pandanglah kami.”
5 Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka.
6 Kemudian Petrus berkata, “Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Yesus Kristus, orang Nazaret, bangkit dan berjalanlah.”
7 Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan.
8 Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke Bait Suci itu mengikut Petrus dan Yohanes sambil berjalan, melompat dan memuji Allah.
9 Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah.
10 Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah Bait Suci itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya.
11 Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yohanes, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Salomo.
12 Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kesalihan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan?
13 Allah Abraham, Ishak dan Yakub, Allah nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya Yesus yang telah kamu serahkan dan sangkal di hadapan Pilatus walaupun dia membuat keputusan hendak melepaskan-Nya.
14 Kamu menyangkal Yang Suci dan Benar itu, serta meminta seorang pembunuh diserahkan kepadamu,
15 lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya.
16 Iman pada nama Yesus telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian.
17 Namun demikian, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu.
18 Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa Kristus akan menderita, telah ditunaikan-Nya.
19 Oleh itu, bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan, dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan.
20 Dan juga supaya Dia menghantar Yesus Kristus yang telah ditentukan-Nya menjadi Kristus bagimu.
21 Kristus mesti tetap di syurga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulukala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci.
22 Musa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, ‘Tuhan Allah akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku daripada kalangan bangsamu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal.
23 Setiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali daripada kalangan kaumnya.’
24 Ya, semua nabi, daripada Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini.
25 Kamu ialah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Abraham, ‘Melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati.’
26 Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Yesus dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu.”