1 Sementara Apolos berada di Korintus, Paulus menjelajahi kawasan pedalaman lalu sampai di Efesus. Di situ dia bertemu dengan beberapa orang murid
2 lalu berkata, “Adakah kamu menerima Roh Kudus pada waktu kamu percaya kepada Yesus?” Mereka menjawab, “Kami belum pernah mendengar pun tentang adanya Roh Kudus.”
3 Paulus bertanya, “Kalau begitu, dalam baptisan apakah kamu dibaptiskan?” Kata mereka, “Dalam baptisan Yohanes.”
4 Paulus berkata, “Yohanes telah membaptiskan orang dengan pembaptisan taubat dan berkata kepada mereka bahawa mereka hendaklah mempercayai Dia yang akan datang selepasnya, iaitu Yesus.”
5 Setelah mereka mendengar penerangan itu, mereka dibaptiskan dengan nama Tuhan Yesus.
6 Paulus meletakkan tangan di atas mereka lalu datanglah Roh Kudus menguasai mereka dan mereka semuanya bercakap dalam berbagai-bagai bahasa serta bernubuat.
7 Semuanya ada kira-kira dua belas orang.
8 Paulus masuk ke saumaah dan bercakap di situ dengan beraninya selama tiga bulan. Dia berbincang dengan orang di situ dan berusaha meyakinkan mereka tentang kerajaan Allah.
9 Akan tetapi, beberapa orang berkeras hati dan tidak mahu percaya malah memburuk-burukkan Jalan Tuhan di hadapan orang ramai. Oleh itu, Paulus meninggalkan mereka lalu membawa murid-murid Yesus bersamanya ke dewan syarahan Tiranus dan di situlah dia mengadakan perbincangan.
10 Hal itu berlaku selama dua tahun, hingga semua penduduk Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.
11 Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus.
12 Sesetengah mereka membawa pulang sapu tangan atau kain yang pernah dipakai Paulus kepada orang yang sakit lalu mereka sembuh dan roh-roh iblis yang merasuk mereka keluar dari tubuh mereka.
13 Beberapa orang Yahudi yang mengamalkan ilmu sihir turut serta menyebut nama Tuhan Yesus untuk mengubat orang yang dirasuk roh-roh iblis, dengan berkata, “Aku menyumpahi kamu demi Yesus yang dikhabarkan oleh Paulus.”
14 Ada tujuh orang anak Skewa, imam besar orang Yahudi, yang berbuat demikian.
15 Akan tetapi, roh jahat itu menjawab, “Aku kenal akan Yesus, dan tahu akan Paulus, tetapi kamu ini siapa?”
16 Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka.
17 Berita itu tersebar baik dalam kalangan orang Yahudi mahupun orang Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Tuhan Yesus semakin dimuliakan.
18 Ramai orang yang mempercayai Yesus datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu.
19 Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihir mereka dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.
20 Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
21 Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Yerusalem. Dia berkata, “Selepas itu, aku mesti pergi ke Roma pula.”
22 Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
23 Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan.
24 Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya.
25 Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, “Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan.
26 Saudara-saudara juga melihat dan mendengar bahawa di Efesus ini malah hampir di seluruh Asia, Paulus itu telah mempengaruhi ramai orang dengan berkata bahawa barang yang diperbuat oleh manusia bukannya tuhan.
27 Dengan demikian, apa yang dikhuatiri bukan sahaja mata pencarian kita ini dihina, bahkan rumah Artemis, dewi yang besar itu pun tidak akan diendahkan lagi, lalu hilanglah kebesaran dewi yang disembah orang di seluruh Asia malah di serata dunia.”
28 Setelah mendengar kata-kata itu, semua yang hadir naik berang dan berseru, “Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!”
29 Dengan demikian orang ramai merusuh di kota itu. Mereka menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke panggung kota itu.
30 Paulus hendak pergi bercakap kepada orang ramai tetapi para murid Yesus tidak membenarkannya.
31 Beberapa orang pegawai kerajaan yang bersahabat dengan Paulus berpesan kepadanya supaya jangan masuk ke panggung itu.
32 Orang yang berkumpul di situ berseru-seru, sesetengah berkata begini dan sesetengah begitu; kerana semuanya dalam keadaan kelam-kabut dan sebilangan besar daripada mereka tidak tahu mengapa mereka berhimpun.
33 Orang Yahudi menolak Aleksander ke hadapan untuk menghadapi orang ramai. Aleksander memberikan isyarat dengan tangannya kerana dia hendak menjelaskan segalanya kepada mereka.
34 Akan tetapi apabila mereka mengenalinya sebagai orang Yahudi, semuanya berseru serentak selama kira-kira dua jam, “Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!”
35 Ketika itu jurutulis kota menyuruh mereka diam lalu berkata, “Hai orang Efesus, siapa yang tidak tahu bahawa orang kota Efesuslah yang memelihara kuil dewi besar Artemis dan patung sucinya yang turun dari langit?
36 Ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu, kamu patut bertenang dan jangan bertindak gopoh-gapah.
37 Kedua-dua orang ini tidak merampas harta tempat berhala dan tidak pula menghina dewi kita, tetapi kamu membawa mereka ke mari.
38 Jika Demetrius dan tukang-tukang yang menyertainya itu ada sesuatu yang hendak diadukan tentang sesiapa, kita mempunyai mahkamah perbicaraan dan hakim; hendaklah mereka mendakwa orang berkenaan di mahkamah.
39 Jika kamu menuntut perkara lain, hendaklah diselesaikan dalam perhimpunan yang berpatutan.
40 Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan didakwa menimbulkan huru-hara tanpa sebab; dan kita tidak dapat memberikan alasan yang wajar untuk membenarkan perhimpunan ini.”
41 Selepas itu, jurutulis kota menyuruh perhimpunan itu bersurai.