1 Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi.
2 Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Anak-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta.
3 Anak itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga.
4 Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka.
5 Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: “Engkau Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu”? Dan juga: “Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku”?
6 Selanjutnya, apabila Allah menghantar Anak sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya: “Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.”
7 Dan tentang para malaikat, Dia berfirman: “Dia menjadikan para malaikat-Nya angin, dan para pelayan-Nya nyala api.”
8 Tetapi tentang Anak itu Dia berfirman: “Takhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya; Tongkat kebenaran ialah tongkat kerajaan-Mu.
9 Engkau telah mencintai apa yang benar dan membenci apa yang jahat; Oleh itu Allah, Allah-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.”
10 Dan: “Pada mulanya, Engkau, ya Tuhan, yang meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu;
11 Bumi dan langit akan binasa tetapi Engkau kekal; dan segalanya akan menjadi usang seperti pakaian;
12 Seperti jubah, Engkau akan menggulungnya; seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan zaman-Mu tidak berkesudahan.”
13 Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu”?
14 Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?