1 Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi!
2 Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan.
3 Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup.
4 Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!
5 Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran.
6 Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah.
7 Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.
8 Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi – jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji – tumpukan fikiran kepadanya.
9 Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku – lakukanlah. Maka Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu.
10 Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu.
11 Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apa pun aku telah belajar berasa cukup.
12 Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar berasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah.
13 Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan.
14 Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku.
15 Kamu orang Filipi juga tahu bahawa apabila Injil mula dikhabarkan, ketika aku baru keluar dari Makedonia, tiada jemaah yang memberikan layanan kepadaku dalam memberi dan menerima kecuali kamu.
16 Ketika aku di Tesalonika pun kamu telah mengirimkan bantuan untuk menampung kekuranganku.
17 Bukanlah aku hendakkan pemberian itu, tetapi aku hendakkan kebaikan itu menambahkan jumlah perbuatan baik dalam kira-kiramu.
18 Sebenarnya aku ada segalanya, bahkan berlebihan; sudah cukuplah bagiku, setelah menerima kirimanmu dari tangan Epafroditus, bau yang harum dan persembahan yang diterima serta diredai Allah.
19 Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus.
20 Segala kemuliaan bagi Bapa kita Allah selama-lamanya. Amin.
21 Sampaikan salamku kepada setiap orang yang salih dalam Kristus Yesus. Saudara-saudara yang bersamaku mengirim salam kepadamu.
22 Semua orang salih di sini mengirim salam kepadamu, terutamanya isi istana Kaisar.
23 Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.