1 Aku berkata benar dalam Kristus. Aku tidak berdusta, hati nuraniku mengesahkannya dalam Roh Kudus.
2 Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku.
3 Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada Kristus untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku.
4 Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di Bait Suci, dan janji-janji.
5 Mereka ialah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah Kristus lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu, Allah yang terpuji selama-lamanya. Amin.
6 Ini tidaklah bererti Firman Allah telah gagal. Kerana bukan semua keturunan Israel itu diterima sebagai Israel.
7 Juga bukan semua keturunan Abraham diterima sebagai anak-anak Abraham. Sebaliknya, “Melalui Ishak benih keturunanmu akan dipanggil.”
8 Ini bererti, anak-anak Allah bukanlah keturunan tabii Abraham tetapi anak-anak janji Allah.
9 Kerana demikianlah kata-kata janji itu: “Pada masa yang ditetapkan Aku akan kembali, dan Sarah akan mendapat seorang anak lelaki.”
10 Bukan itu sahaja, malah kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, bapa kita.
11 Namun demikian, sebelum anak kembar itu dilahirkan dan sempat berbuat baik atau jahat – untuk menegakkan kehendak Allah dalam pemilihan:
12 bukan dengan kerja amal tetapi dengan Dia yang memanggil – Ribkah telah diberitahu: “Yang tua akan melayan yang muda.”
13 Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci.”
14 Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak!
15 Kerana Dia telah berkata kepada Musa, “Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani. Dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.”
16 Oleh itu, hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah.
17 Kerana Kitab Suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi.
18 Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati.
19 Seorang daripadamu akan berkata kepadaku, “Kalau begitu, mengapa masih menyalahkan kita? Kerana siapa yang dapat menentang kehendak-Nya?”
20 Tetapi siapakah engkau, hai manusia, maka engkau menghujahi Allah? “Adakah ciptaan berkata kepada penciptanya, ‘Mengapa kaubuat aku begini?’ ”
21 Tidakkah tukang tembikar berhak membuat daripada segumpal tanah liat yang sama, beberapa bekas tembikar untuk tujuan mulia dan yang lain untuk kegunaan biasa?
22 Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan?
23 Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan,
24 justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya daripada kalangan orang Yahudi tetapi juga daripada kalangan bangsa asing?
25 Sebagaimana telah disampaikan-Nya melalui Hosea: “Aku akan memanggil mereka ‘umat-Ku’ sedangkan mereka bukan umat-Ku; dan Aku akan memanggil dia ‘orang yang Kukasihi’ sedangkan dia bukan orang yang Kukasihi.
26 Dan, akan terjadi bahawa di mana telah dikatakan kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situlah mereka akan dipanggil anak-anak Allah yang hidup.”
27 Yesaya juga telah berseru tentang umat Israel: “Walaupun bilangan anak Israel seperti pasir di tepi laut, hanya segelintir baki akan diselamatkan.
28 Kerana Tuhan akan menjalankan hukuman-Nya di atas bumi dengan segera dan muktamad.”
29 Samalah seperti kata Yesaya sebelum itu: “Sekiranya Tuhan alam semesta tidak membiarkan keturunan kita hidup, kita tentu telah menjadi seperti Sodom, tentu kita seperti Gomora.”
30 Jadi, apa yang akan kita katakan? Bahawa bangsa-bangsa asing, yang tidak mengejar perbenaran , telah mendapatinya, iaitu perbenaran berasaskan iman.
31 Sebaliknya orang Israel, yang mengejar perbenaran berasaskan hukum, tidak dapat mencapainya.
32 Mengapa tidak? Kerana mereka mengejarnya bukan dengan iman, tetapi seolah-olah dengan mengamalkan kerja amal. Mereka tersandung pada batu sandungan.
33 Sebagaimana telah tersurat: “Aku telah meletakkan di Sion seketul batu yang menyebabkan orang tersandung dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh, dan orang yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.”