1 Semua orang yang diperhamba sebagai abdi harus menganggap tuan mereka wajar mendapat segala penghormatan supaya orang tidak dapat mencela nama Allah dan ajaran kita.
2 Apabila tuan mereka seorang beriman, mereka tidak harus memandang ringan kepadanya malah harus melayannya dengan lebih baik lagi, kerana yang mendapat manfaat layanan mereka itu saudara seiman yang dikasihi. Hal-hal ini harus kamu ajarkan dan sampaikan sebagai nasihat.
3 Jika sesiapa mengajarkan sesuatu yang berlainan dan tidak menerima kata-kata yang benar iaitu kata-kata Yesus Kristus, Tuhan kita, dan ajaran yang selaras dengan kesalihan;
4 dia bersifat angkuh dan jahil, asyik bertikai dan berbahas tentang kata-kata, sehingga menimbulkan iri hati, perkelahian, pencacian, syak wasangka yang buruk,
5 pertengkaran sia-sia orang yang berfikiran keji dan tidak mengenal kebenaran. Sangkanya kesalihan itu satu cara mendapat keuntungan.
6 Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar.
7 Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya.
8 Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas.
9 Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan.
10 Cinta akan wang punca segala kejahatan. Sesetengah orang memburu wang dengan begitu tamaknya sampaikan tersesat daripada iman dan akhirnya menanggung berbagai-bagai kesengsaraan jiwa.
11 Tetapi kamu, wahai hamba Allah, jauhilah segala ini. Amalkanlah perbenaran, kesalihan, iman, kasih, kesabaran dan sikap lemah lembut.
12 Berjuanglah dalam perjuangan iman yang benar. Berpegang teguhlah kepada hidup kekal; kepada hidup itulah kamu telah dipanggil ketika kamu membuat pengakuan yang benar di hadapan saksi yang ramai.
13 Di hadirat Allah yang memberi nyawa kepada segala sesuatu, dan di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian akan pengakuan yang benar kepada Pontius Pilatus, aku berpesan kepadamu,
14 taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Yesus Kristus, Tuhan kita, datang kembali,
15 yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah Yang Terpuji dan satu-satunya Raja segala raja dan Tuan segala tuan.
16 Hanya Dia yang hidup selama-lamanya, wujud dalam cahaya yang tidak dapat didekati, tidak pernah dan tidak dapat dilihat manusia. Bagi-Nya penghormatan dan kuasa selama-lamanya. Amin.
17 Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati.
18 Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi.
19 Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak.
20 Wahai Timotius, jagalah apa yang telah diamanahkan kepadamu. Jauhi bebelan dan pertengkaran yang bercorak duniawi serta sia-sia, kononnya atas nama ilmu pengetahuan;
21 dengan menyuarakannya sesetengah orang telah sesat dalam hal iman. Semoga kasih kurnia menyertai kamu.