1 Daripada Paulus, hamba Kristus Yesus yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah.
2 Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci,
3 iaitu tentang Anak-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan daripada keturunan Daud,
4 namun dengan Roh Kudus, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Anak Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Yesus Kristus, Tuhan kita.
5 Melalui Yesus Kristus dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia daripada segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya.
6 Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi milik Yesus Kristus.
7 Aku menulis kepada kamu sekalian di Roma , yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus memberimu kasih kurnia dan damai sejahtera.
8 Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allahku melalui Yesus Kristus kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu.
9 Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam penyebaran Injil Anak-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu
10 dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu.
11 Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu;
12 maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku.
13 Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada sahaja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku dalam kalanganmu membuahkan hasil, seperti dalam kalangan bangsa asing yang lain.
14 Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.
15 Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga.
16 Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani.
17 Kerana di dalamnya perbenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Orang benar akan hidup dengan iman.”
18 Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan,
19 kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka.
20 Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya. Oleh itu, mereka tidak dapat berdalih lagi.
21 Walaupun mereka telah mengenal Allah, mereka tidak memuliakan-Nya sebagai Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan yang sia-sia dan hati mereka yang tolol diliputi kegelapan.
22 Mereka mengaku diri bijaksana, tetapi sebenarnya mereka tolol.
23 Mereka berpaling daripada kemuliaan Allah yang kekal abadi lalu menyembah patung-patung yang diperbuat seperti bentuk manusia yang fana, burung, haiwan berkaki empat dan binatang yang menjalar.
24 Oleh itu, Allah membiarkan mereka menurut keinginan hati mereka melakukan pelbagai noda, maka mereka mencemari tubuh sesama sendiri.
25 Mereka merangkul yang palsu dan berpaling daripada kebenaran Allah serta memuja dan menyembah makhluk ciptaan dan bukan Pencipta yang patut dipuji selama-lamanya. Amin.
26 Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka didorong hawa nafsu yang keji. Kaum wanita mereka pun berpaling daripada yang tabii kepada yang di luar tabii.
27 Demikian juga kaum lelaki. Mereka berpaling daripada hubungan tabii dengan wanita dan dibakar nafsu keberahian terhadap sama sejenis. Lelaki dengan lelaki melakukan perkara yang aib, lalu menerima dalam diri mereka hukuman yang setimpal.
28 Oleh sebab mereka enggan mengenal Allah, maka Allah membiarkan mereka dikuasai fikiran yang hina, sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang tidak wajar.
29 Mereka dipenuhi segala kemungkaran, kedurjanaan, ketamakan dan kecabulan. Mereka diselubungi hasad dengki, pembunuhan, persengketaan, penipuan dan niat durjana. Mereka pengumpat, penyebar fitnah,
30 pembenci Allah, biadab, angkuh, bercakap besar, pereka perkara durjana, ingkar kepada ibu bapa,
31 tidak tahu membezakan buruk dan baik, tidak boleh dipercayai, tidak mengasihi, tidak berhati perut, tidak mempunyai belas kasihan.
32 Mereka mengetahui hukum Allah yang adil, iaitu sesiapa yang melakukan perkara demikian wajar dihukum mati. Namun demikian, mereka bukan sahaja melakukannya malah juga menyokong orang lain yang mengamalkannya.