1 Pada masa itu Yohanes Pembaptis menyampaikan berita ini di gurun di Yudea.
2 Dia berseru, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!”
3 Yohaneslah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yesaya: “Suara seorang berseru di gurun: ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ”
4 Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.
5 Orang dari Yerusalem, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yohanes.
6 Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
7 Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk dibaptiskan. Apabila melihat mereka, Yohanes berkata, “Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak?
8 Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat.
9 Jangan sangka kamu dapat berkata sesama sendiri, ‘Abraham bapa moyang kita.’ Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Abraham!
10 Kapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.
11 Aku membaptismu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan membaptismu dengan Roh Kudus dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak.
12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya di dalam api yang tidak dapat dipadamkan.”
13 Ketika itu, Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan untuk dibaptiskan oleh Yohanes.
14 Akan tetapi, Yohanes cuba menolak dengan berkata, “Sepatutnya Engkau yang membaptisku. Ini Engkau pula datang kepadaku!”
15 Tetapi Yesus menjawab, “Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala perbenaran.” Yohanes pun patuh.
16 Setelah dibaptiskan, Yesus keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan Dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya.
17 Kemudian kedengaran suara dari syurga, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.”