1 Beberapa orang Farisi dan Saduki datang kepada Yesus. Untuk menduga Yesus, mereka meminta-Nya menunjukkan suatu tanda dari syurga.
2 Yesus menjawab, “Ketika matahari masuk, kamu berkata, ‘Cuaca baik, kerana langit merah.’
3 Pada waktu pagi, kamu berkata, ‘Cuaca buruk nanti, kerana langit merah mengancam.’ Munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat tanda-tanda di langit, tetapi kamu tidak dapat memahami tanda-tanda zaman ini.
4 Manusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda Nabi Yunus.” Setelah berkata demikian, Yesus pun pergi dari situ.
5 Ketika para murid Yesus berperahu ke seberang, mereka terlupa membawa roti.
6 Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.”
7 Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.”
8 Yesus mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Begitu tipis kepercayaanmu!
9 Belum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
10 Bagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
11 Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.”
12 Barulah mereka faham bahawa maksud Yesus bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang Farisi dan Saduki.
13 Yesus pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Anak Manusia ini?”
14 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.”
15 Yesus bertanya, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?”
16 Simon Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus, Anak Allah Yang Hidup.”
17 Yesus berkata, “Diberkatilah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga.
18 Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu pejal inilah akan Kubina jemaah-Ku. Alam maut pun tidak dapat merobohkannya.
19 Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kamu ikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.”
20 Selepas itu dengan tegasnya Yesus melarang murid-murid-Nya memberitahu sesiapa bahawa Dia Kristus.
21 Sejak itu, Yesus mula berkata terus terang kepada murid-murid-Nya bahawa Dia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan daripada pihak pemimpin masyarakat, ketua imam, dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula.
22 Petrus menarik Yesus ke tepi lalu menegur Dia, “Tuhan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu!”
23 Yesus berpaling sambil berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Engkau batu sandungan bagi-Ku kerana kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia!”
24 Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku.
25 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup.
26 Apalah gunanya jika seseorang memperoleh seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Apakah yang dapat diberinya sebagai ganti untuk hidup itu?
27 Sudah hampir waktunya Anak Manusia datang bersama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan memberikan balasan kepada setiap orang menurut perbuatannya.
28 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, beberapa orang di sini tidak akan menemui maut sebelum melihat Anak Manusia datang sebagai Raja dalam Kerajaan-Nya.”