1 Daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, Kepada semua orang salih dalam Kristus Yesus di Filipi, serta para penyelia dan penolong jemaah:
2 Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus.
3 Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu
4 dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku,
5 kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang.
6 Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus.
7 Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu juga turut mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil.
8 Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Kristus Yesus.
9 Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian,
10 supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus,
11 serta dipenuhi dengan buah perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus, untuk memuji dan memuliakan Allah.
12 Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil.
13 Dengan demikian, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana Kristus.
14 Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan.
15 Ada orang yang memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik.
16 Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil.
17 Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang Kristus untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara.
18 Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita.
19 Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus.
20 Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalu, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga Kristus akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati.
21 Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan.
22 Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu!
23 Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik,
24 tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani.
25 Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman,
26 supaya rasa sukacitamu dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.
27 Cuma pastikanlah kelakuanmu selaras dengan Injil Kristus. Dengan demikian, sama ada aku datang menemuimu ataupun tidak, aku akan dapat mendengar tentangmu, bahawa kamu berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil,
28 dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah.
29 Kerana kepadamu telah dikurniakan bagi pihak Kristus, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya.
30 Dan kerana kamu juga menghadapi pertarungan yang kualami dahulu, perjuangan yang masih ada padaku.